KATA-KATA ALUAN SUARA PERSIAP JUN 2009

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat-Nya dapatlah Suara Persiap edisi pertama sesi 2009/2010 kali ini disempurnakan berlatarbelakangkan tema kewangan. Tahniah dan syabas kepada warga kerja Suara PERSIAP atas kejayaan besar anda menerbitkan bahan bacaan yang sangat bermanfaat ini. Semoga dengan penerbitan ini, kita mampu membuat anjakan paradigma dalam diri pelajar.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan selamat datang ke Fakulti Perubatan UKM kepada pelajar-pelajar tahun 1 sesi 2009/2010. Tahniah kerana anda terpilih memasuki dunia perubatan. Sebagai peringatan awal buat anda dan rakan-rakan pelajar perubatan UKM, janganlah terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan-kejayaan lampau kita. Kejayaan lampau bukanlah parameter penting untuk berjaya dalam alam perubatan. Sebaliknya doa, usaha, iltizam, tawakal, ibadah, proaktif dan keberkatan merupakan antara faktor yang menjulang kita. Jangan jadi seperti robot yang hanya mengikut apa yang telah diprogramkan. Sebaliknya kita haruslah peka dengan persekitaran dan responsif secara asertif. Berfikirlah secara kritikal.

Buat sekian kalinya, saya menegaskan bahawa kita semua adalah PERSIAP. Kitalah yang telah sama-sama membina dan memartabatkan PERSIAP hingga ke tahap ini. PERSIAP milik kita. Teruskan sokongan untuk menggerakkan PERSIAP melalui penglibatan dalam program, menyumbang buah fikiran dan melontarkan kritikan membina bagi memperteguh kemandirian PERSIAP. Dengan berbekalkan slogan ‘Ke Arah Fakulti Berkebajikan, Cemerlang dan Profesional’, PERSIAP bertekad untuk meneruskan hasrat dan misi penting menjaga akademik dan kebajikan kita bersama.

Tanpa bersuara, hak kita mungkin terabai. Kita berhak bersuara untuk menegakkan hak. Bersuaralah secara proaktif, inovatif dan profesional untuk meneruskan survival dalam dunia perubatan. Maafkan saya sekiranya saya tidak berjaya menjaga hak anda. Tegurlah dan kritiklah saya supaya saya terus konsisten dengan perjuangan menjaga hak kita bersama.

Akhir kata, berilah sokongan padu, jitu dan konsisten kepada PERSIAP. Kita adalah PERSIAP, dan PERSIAP adalah kita.

Sekian.

MOHD FADHLI BIN MOHD FAUZI
YANG DIPERTUA
PERSATUAN MAHASISWA/I FAKULTI PERUBATAN UKM
SESI 2009/2010